Semenjak 2 dekad yang lalu Malaysia mempersia-siakan sumber kepelbagaian bionya (biodiversity) yang ada. Walaupun terkenal sebagai negara yang ke 12 di dunia yang kaya dengan sumber kepelbagaian bio (biodiversity) namun permanfaatannya masih perlahan. Bayangkan hampir 90 peratus sumber bahan mentah herba untuk industri produk herba dalam negara bergantung dari negara luar. Kerugian nilai tukaran wang melalui aktiviti impot mencecah RM264.7 juta pada tahun 1996 sahaja cukup mengambarkan posisi buruk negara dalam menguruskan sumber herbanya sendiri.

Kesedaran untuk mengarap peluang dari kemewahan khazanah rimba Malaysia bagi memastikan industri herba menjadi komoditi baru dalam negara selain faktor wujudnya trend masyarakat dunia yang mula mengutamakan produk berasaskan alam semula jadi berbanding produk-produk lain yang mengandungi bahan kimia mendorong kerajaan memacu ke hadapan. Berdasarkan laporan Bank Dunia, pasaran herba akan meningkat kepada AS$200 billion (RM760 billion) pada tahun 2008 dan mencecah AS$5 trilion (RM19 trilion) pada tahun 2050. Pasaran herba di Malaysia sahaja pada tahun 2010 dianggarkan bernilai RM7 billion dengan kadar pertumbuhan tahunan kira-kira 15-20 peratus.

Lewat ini keseriusan kerajaan dizahirkan melalui pelbagai gerak-usaha terutamanya meletakkan industri berkaitan herba disenaraikan dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Keyakinan Malaysia dengan potensi herba selaku pemacu kelestarian sektor Bio-Ekonomi  negara menatijahkan herba dijadikan Projek Permulaan (EPP) pertama (EPP1) untuk NKEA pertanian negara.

Justeru keberadaan MynativeCures adalah sebahagian dari hasil keseriusan kerajaan menangani peri pentingnya industri herba di negara ini. Dengan segala perancangan dan inisiatif yang diwujudkan MynativeCures menyakini prospek industri pertanian berasaskan tanaman herba bakal menyinar dan menjadi antara komodoti utama negara selain tanaman kelapa sawit, getah, lada hitam dan nenas.